
Foto: KKM
PUTRAJAYA, 13 Jun (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan menerima notifikasi kes positif COVID-19 melibatkan seorang tukang gunting rambut warga Pakistan kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata lelaki berkenaan yang bekerja di sebuah kedai gunting rambut di ibu negara, menawarkan perkhidmatan berkenaan dari rumah ke rumah atas permintaan klien di kawasan sekitar.
“Hasil siasatan awal, kedai gunting rambut tersebut tidak beroperasi sejak bermulanya fasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama iaitu pada 18 Mac, namun beliau terus memberi khidmat gunting rambut dari rumah ke rumah atas permintaan klien,” katanya pada sidang media harian di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata lelaki berkenaan didapati positif COVID-19 selepas majikannya membawanya menjalani saringan COVID-19.
“Kedai gunting rambut tersebut mula beroperasi pada 10 Jun dan majikan telah membawa beliau menjalani saringan COVID-19,” katanya.
Lelaki itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh, namun punca jangkitan belum dikenal pasti.
Beliau berkata sehingga kini KKM telah mengesan 40 kontak rapat berkaitan iaitu melibatkan 36 klien dan empat rakan serumah dengan kesemua mereka telah menjalani saringan COVID-19 dan diarah menjalani kuarantin di rumah.
Ditanya mengenai data sebenar jumlah pekerja warga asing yang bekerja dalam sektor tersebut, Dr Noor Hisham berkata setakat ini terdapat lebih 2,000 warga asing yang menjalankan tugas sebagai tukang gunting rambut.
Beliau berkata kebimbangan KKM bukan sahaja terhadap sektor berkenaan yang melibatkan warga asing namun sektor-sektor lain juga yang telah dibenarkan beroperasi dan dengan itu, beliau meminta semua pihak supaya mematuhi setiap SOP yang telah ditetapkan kerajaan.
Mengulas mengenai SOP Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Dr Noor Hisham berkata KKM bersama agensi berkaitan akan menyediakan satu SOP untuk membolehkan individu yang bergejala COVID-19 dibenarkan keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.
“Kita akan lihat daripada senarai kes yang dikuarantin atau mereka yang dimasukkan ke wad. Tapi jika ada pesakit yang tenat contohnya, jadi mungkin mereka tidak dibenarkan keluar dari wad untuk melaksanakan tugas mereka untuk mengundi,” katanya.
Sebelum ini, dalam satu laporan media, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan membenarkan pengundi bergejala COVID-19 atau dikuarantin atas sebab penyakit itu, mengundi bagi PRK DUN Chini pada 4 Julai ini, tertakluk kepada kebenaran KKM untuk golongan berkenaan keluar dari pusat kuarantin bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.
Bagi tujuan itu, Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan SPR akan mewujudkan satu khemah khas di setiap pusat mengundi dengan petugas di dalam khemah itu akan memakai set lengkap peralatan pelindung diri (PPE)
Sehingga kini, DUN Chini yang berada dalam Parlimen Pekan mencatatkan 24 kes jangkitan COVID-19 termasuk satu kes di DUN itu. Kesemua pesakit terlibat disahkan sembuh dengan kali terakhir kes COVID-19 dilaporkan berlaku di Parlimen Pekan adalah pada 13 Mei.
— BERNAMA