Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KP dan TKP Japen Kehilangan Bonda Tercinta

By 19 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik Bernama

PUTRAJAYA, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Roselindawati Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Japen Datuk Mohd Sukari Ab. Hamid, masing-masing kehilangan bonda tercinta semalam.

Ibu Roselindawati, bekas Senator Datuk Ainon Ariffin meninggal dunia pada usia 84 tahun akibat jangkitan paru-paru pada kira-kira 2 petang  di rumah Allahyarhamah di Lembah Keramat Kuala Lumpur.

Ibu Mohd Sukari,  Ramlah Kadir meninggal dunia pada usia 82 tahun akibat sakit tua  pada kira-kira 9.30 pagi di rumah keluarganya di Kampung Bukit Kuala Kuang, Kupang, Baling, Kedah.

“Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kuala Kuang pada 5.30 petang semalam,” kata adik Mohd Sukari, Zainuddin ketika dihubungi semalam.

Mohd Sukari adalah anak kedua daripada enam adik beradik dilantik sebagai timbalan ketua pengarah Japen pada 1 Nov tahun lepas.

Sementara itu, jenazah Allahyarhamah Ainon selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam As-Sobirin AU4 Lembah Keramat pada kira-kira 10 malam tadi.

Menurut anak ketiga Allahyarhamah, Rosalie, 62, ibunya menghidap penyakit diabetes hampir sepuluh tahun sebelum menghidap jangkitan paru-paru awal tahun ini.

“Arwah sebelum ini ada menyampaikan pesanan untuk kesejahteraan anak-anak dan mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya. Ketika hidup dia banyak tolong orang,” katanya ketika ditemui di Masjid As-Sobirin.

Rosalie berkata ibunya menjadi Senator Dewan Negara selama dua penggal dari tahun 1986 hingga 1992 dan pernah menjadi Ketua Wanita UMNO Titiwangsa.

Ainon meninggalkan lima orang anak iaitu dua lelaki dan tiga perempuan, dan Roselindawati merupakan anak keempat.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda