Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Laporan 1,000 Tempahan Hotel di Langkawi Tidak Tepat

By 10 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Laporan berita tentang sektor pelancongan di Langkawi menerima 1,000 tempahan sebaik sahaja Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ahad lalu, adalah tidak tepat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir tentang perkara itu juga tidak mewakili kerajaan negeri.

“Kami tidak tahu daripada mana pihak tersebut mendapat angka itu, kerana kami tidak mempunyai mekanisme untuk mengetahui jumlah tempahan hotel dalam tempoh sejam.

“Biasanya pihak hotel yang menerima tempahan akan memaklumkan kepada kami jumlah tempahan yang diterima, itu pun tidak dapat diperoleh dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam sidang media di Alor Setar semalam.

Ahad lalu, Zainudin dilaporkan berkata hotel di Langkawi telah menerima sebanyak 1,000 tempahan dalam tempoh sejam susulan pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyaksikan lebih banyak sektor ekonomi dibuka termasuk pelancongan domestik.

Sementara itu Mohd Firdaus berkata ekoran langkah kerajaan membenarkan perjalanan merentas negeri dan membuka semula pelancongan domestik, kerajaan negeri berharap dapat mencapai antara 1.2 juta hingga 1.5 juta kedatangan pelancong pada tahun ini.

Sasaran itu, katanya mampu dicapai sekiranya langkah-langkah pemulihan dilaksana sebaik mungkin terutama oleh pemain industri dalam merancakkan semula aktiviti pelancongan.

“Selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan sektor pelancongan, kami terpaksa memulihkan semula pelancongan dengan kebiasaan baharu dalam PKPP ini.

“Kalau sebelum ni (2019) kami dapat menarik 3.7 juta pelancong, sekurang-kurangnya pada akhir tahun ini kami boleh dapat 1.2 hingga 1.5 juta pun sudah mencukupi untuk penutup tahun ini,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda