Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Bayaran Online Lonjak Kutipan Zakat W. Persekutuan RM4.97 Juta Tahun Ini

By 10 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Penggunaan platform dalam talian (online) oleh pembayar zakat yang menggalakkan pada tahun ini, antaranya melonjakkan kutipan zakat fitrah di Wilayah Persekutuan sebanyak 1,100.06 peratus kepada RM4.97 juta berbanding RM414,430 pada tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata seramai 195,922 pembayar zakat melunaskan tanggungjawab melalui platform bayaran dalam talian yang disediakan Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan di fitrah.zakat.com.my pada tahun ini.

“Yang menyebabkan zakat fitrah melonjak kerana pada masa tu PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), jadi kami menggunakan online dan mempunyai kempen dan promosi begitu aktif dan kuat daripada semua pihak melalui platform laman web, Facebook dan Instagram.

“Kami cuba memudah cara, dengan sebab itu kesannya begitu besar. Belum pernah melonjak naik sebanyak ini, kalau untuk Wilayah Persekutuan ini kali pertama,” katanya dalam sidang media sempena pembentangan Kad Laporan Mei 2020, di sini semalam.

Zulkifli  berkata jumlah pembayar zakat pada tahun ini juga menunjukkan peningkatan iaitu 981.49 peratus berbanding 18,116 orang pada tahun lepas.

“Zakat yang diterima akan dibelanjakan dengan penuh berhemah dan diserahkan seadilnya kepada lapan kelompok asnaf yang berhak,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian kementerian, Zulkifli berkata Program Musaadah COVID-19 yang bermula pada 18 Mac lepas, telah mengagihkan bantuan sebanyak RM196.3 juta kepada 10 kelompok sasar iaitu Orang Asli, asnaf, barisan hadapan, pelajar, Orang Kurang Upaya, B40, mualaf, rakan jalanan, bukan Muslim dan warganegara asing di Malaysia.

Selain itu, katanya Program Pembiayaan iTekad diwujudkan hasil usahasama Bank Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan SME Corporation, bagi membiayai usahawan mikro dan asnaf yang kehilangan pendapatan akibat wabak COVID-19.

Platform e-dagang CMasa.my, yang diterajui oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, pula membuka peluang perniagaan secara dalam talian dengan menyediakan asas jaringan dan rantaian bekalan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan, iaitu seramai 988 usahawan telah mendaftar di bawah platform itu.

Pada majlis yang sama, Zulkifli melancarkan laman web rasmi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), www.mira.gov.my, sebagai platform untuk menyampaikan informasi semasa berhubung jabatan berkenaan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda