Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia Rekod 16 Kes Baharu, Tiada Kematian

By 22 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Malaysia melaporkan 16 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kumulatif terkini kes positif sebanyak 8,572 pesakit, manakala kematian kekal pada 121 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baharu itu merangkumi 13 penularan tempatan dan tiga kes import yang melibatkan dua warga Malaysia dan seorang pemastautin tetap.

“Bagi 13 kes penularan di dalam negara, sembilan melibatkan bukan warganegara manakala hanya empat kes adalah dalam kalangan warga Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Noor Hisham berkata berikutan kes baharu tersebut, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini ialah 295 kes.

Dr Noor Hisham berkata bagi kes jangkitan tempatan melibatkan bukan warganegara, enam adalah daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan; dua kes kontak rapat kepada kes ke-8,513 daripada kluster syarikat pembersihan di Selangor; dan  satu kes daripada saringan tahanan di Pusat Tahanan Sementara Tawau, Sabah sebelum penghantaran pulang ke Indonesia.

Untuk kes penularan dalam negara melibatkan empat warga tempatan pula, dua kes ialah kontak rapat kepada kes ke-8,535 daripada Kluster Kidurong, Sarawak; satu kes saringan Orang Kena Tuduh (OKT) yang baru dimasukkan ke lokap di Melaka dan satu kes saringan prapembedahan di hospital di Johor.

Katanya terdapat 10 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes  pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah dibenar keluar hospital sebanyak 8,156 kes  atau 95.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, sebanyak tiga kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai agar mendapatkan maklumat COVID-19 yang sahih dan terkini daripada sumber yang dipercayai.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan terkini mengenai perkembangan COVID-19 negara, orang ramai boleh melayari laman web COVID-19 iaitu http://covid-19.moh.gov.my/ yang beroperasi sejak 5 Mei lalu.

“Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran Telegram Kesihatan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM dan juga laman web Bahagian Pendidikan Kesihatan, KKM,” katanya.

Setelah lebih sebulan beroperasi, capaian laman web COVID-19 ialah kira-kira 60,000 pengguna dan kini berada di tempat pertama dalam enjin carian Google.

Menurutnya, sehingga semalam, statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan tiada pertambahan kertas siasatan baharu yang dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC dalam tempoh lebih tiga minggu lepas.

“Ini menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat akan kepentingan tidak berkongsi berita palsu telah meningkat,” katanya.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda