Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia Sambut Baik Pendirian Arab Saudi Pertimbang Ibadah Haji Diteruskan

By 25 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Malaysia menyambut baik pendirian Arab Saudi yang sedang mempertimbangkan untuk membenarkan ibadah haji bagi tahun ini diteruskan, namun terhad kepada rakyat negara itu serta rakyat negara Islam yang sudah berada di sana.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara tersebut dimaklumkan menerusi panggilan telefon daripada Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al-Saud, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Panduan Arab Saudi Shaikh Abdullatif Abdulaziz Aal Al Shaikh, dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Shaikh Dr Muhammad Saleh Taher Benten semalam, dan Isnin lepas.

“Pendirian Arab Saudi dalam perkara tersebut bukan sahaja menggambarkan kecaknaan Khadimul Haramain al-Sharifain Raja Salman Abdulaziz dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi terhadap umat Islam di seluruh dunia, bagi memastikan ibadah ini dapat dilaksanakan dengan selamat berdasarkan perspektif kesihatan umum, malah bertepatan dengan konsep maqasid syariah iaitu hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa).

“Menteri Luar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berjanji akan sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan Arab Saudi, khususnya dengan rakan sejawat masing-masing bagi memastikan rakyat Malaysia yang berada di negara itu diberi keutamaan, sekiranya mereka memutuskan membenarkan ibadah haji secara terhad ini,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua menteri berkenaan juga mengajak seluruh umat Islam di negara ini mendoakan semoga wabak COVID-19 segera beransur hilang dari bumi Arab Saudi, Malaysia dan seluruh dunia serta semoga ibadah haji pada tahun hadapan dapat dijalankan seperti biasa.

Untuk rekod, terkesan dengan wabak COVID-19, Arab Saudi pada akhir Februari memutuskan menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan ziarah Masjid Nabawi, Madinah.

Sebagai langkah mencegah penularan wabak COVID-19, pada pertengahan Mac, Arab Saudi memutuskan menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat pergerakan keluar masuk  ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda