Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu Kekal Satu Angka, 244 Kes Aktif

By 25 Jun 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 kekal mencatatkan satu angka iaitu enam kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 244 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan kes baharu itu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,596 kes, selain tiada kematian dicatatkan menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada enam kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini semalam.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 45 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad kepada 8,231 kes atau 95.8 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu terdapat tiga kluster baharu dikesan iaitu Kluster Kondominium Hulu Langat; Kluster Bukit Bintang; dan Kluster Tapak Pembinaan Kuching.

Bagi Kluster Bukit Bintang, sehingga kini 10 kes positif COVID-19 telah dilaporkan dalam kluster ini yang melibatkan sembilan kes warganegara Bangladesh dan satu kes warganegara Malaysia.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-8498) merupakan seorang lelaki bukan warganegara, yang telah menjalani saringan COVID-19 untuk masuk kerja dan didapati positif pada 15 Jun.

“Siasatan dan saringan ke atas semua kontak rapat telah dijalankan. Setakat ini, seramai 274 orang telah disaring di mana 203 adalah bukan warganegara dan 71 adalah warganegara Malaysia.

“Tujuh daripada 10 kes positif kluster ini adalah rakan serumah, kepada kes indeks,” katanya.

Langkah pencegahan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di kawasan kediaman mereka, serta lokasi-lokasi lain yang berkaitan dan punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan.

Bagi Kluster Kondominium Hulu Langat pula, kes indeks kluster ini (kes ke-8368) merupakan seorang pelajar pusat tahfiz, yang dikesan positif saringan COVID-19 pada 8 Jun.

Dr Noor Hisham berkata, aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dilakukan dan dua lagi kes positif dikesan dalam kluster yang dipercayai berpunca, daripada kes kunjung-mengunjung ini.

Katanya, seramai 40 kontak rapat telah dikenal pasti dan disaring, daripada jumlah keseluruhan ini, 26 orang adalah bukan warganegara dan 14 orang adalah warganegara Malaysia.

Bagi Kluster Tapak Pembinaan Kuching (Sarawak), ia mula dikesan apabila kes ketiga kluster ini (iaitu kes ke-8591) telah membuat saringan COVID-19, di sebuah klinik swasta dan didapati positif.

“Beliau merupakan ketua penyelia kepada dua orang pekerja warga Indonesia yang telah dikesan positif pada 16 Jun hasil, saringan di tempat kerja.

“Susulan itu, siasatan dan saringan kontak rapat termasuk pekerja-pekerja tapak pembinaan tersebut serta ahli keluarga mereka telah dijalankan dan setakat ini seramai 426 kontak telah dikenal pasti. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga kluster masih terkawal dan tindakan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), secara pentadbiran adalah tidak perlu buat masa ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda