Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Muzium Negeri Sedia Terima Pelawat

By 20 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)

SEREMBAN, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Setelah hampir tiga bulan tidak menerima kunjungan pelawat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, kini kesemua lima buah muzium di bawah kelolaan Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) telah dibenarkan beroperasi semula.

Pembukaan tersebut membabitkan Muzium Negeri di Seremban, Teratak Za’ba di Batu Kikir Jempol, Muzium Rembau di Astana Raja Rembau, Kompleks Megalith di Pengkalan Kempas Port Dickson dan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Shamsuddin Ahmad, berkata muzium berkenaan ditutup sementara bermula 18 Mac lalu bagi mematuhi PKP.

Antara ruang pameran yang telah disediakan buat pengunjung.

Antara ruang pameran yang telah disediakan buat pengunjung.

“Beberapa prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi sebelum pengunjung dibenarkan masuk ke kompleks muzium, antaranya had umur yang dibenarkan adalah antara 13 hingga 60 tahun sahaja dan lawatan berkumpulan tidak dibenarkan.

“Pelawat yang dibenarkan juga hanyalah warga tempatan dan tiada pemandu lawatan disediakan dengan pergerakan pengunjung sentiasa dipantau,” katanya.

Tambah Shamsuddin, pelawat diwajibkan menjalani imbasan suhu badan dan mereka yang melebihi 37.5 darjah celsius tidak akan dibenarkan masuk, pelawat juga digalakkan memakai pelitup separuh muka ketika berada dalam galeri pameran dan sekitar kompleks muzium.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelbagai khazanah sejarah unik di Negeri Sembilan, bolehlah berkunjung ke muzium-muzium ini yang dibuka bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari kecuali Isnin ditutup bagi kerja-kerja disinfeksi awam serta masuk adalah percuma.

-AK

Tinggalkan komen anda