Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

OPS-COVID Beri Kesedaran Patuhi SOP

By 22 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Noorezrin Mahmod/Muhammad Naim (Jempol)

JEMPOL, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Sebanyak sembilan kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Bersepadu Pematuhan SOP PKPP COVID-19 di sekitar Bandar Bahau malam semalam.

Operasi yang yang melibatkan 37 anggota daripada enam agensi tersebut telah bermula pada jam 8.00 malam dan berakhir sehingga tengah malam.

Enam agensi yang terlibat adalah terdiri daripada Majlis Perbandaran Jempol, Pejabat Kesihatan Daerah, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jempol, Rela, Pejabat Penerangan Daerah Jempol dan Ibu Pejabat Polis Daerah yang merupakan komandan operasi.

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif, operasi malam tersebut melibatkan dua pasukan yang digerakkan ke lokasi-lokasi tertentu dan melibatkan pemeriksaan 17 kedai makan, tiga pusat snooker dan dua buah kedai.

“Operasi ini adalah kali pertama diadakan bagi tujuan memastikan semua pihak mematuhi arahan yang telah dikeluarkan dan pihak kami akan mengadakannya dengan lebih kerap hingga tempoh PKPP berakhir Ogos ini,” katanya.

WhatsApp Image 2020-06-22 at 09.44.34

Aktiviti pemantauan SOP di salah sebuah premis terlibat.

Tambah Khairiel, kompaun yang dikeluarkan adalah atas kesalahan kegagalan premis untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan seperti tidak menyediakan cecair pembasmi kuman, alat penyukat suhu, tiada garis penjarakan sosial dan tidak mencatat kehadiran pelanggan.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad, yang turut serta dalam operasi tersebut menyifatkan kerjasama ini amat perlu bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Operasi bersepadu antara agensi-agensi kerajaan di daerah ini amat baik kerana penyelarasan tugas dapat dibuat dengan teratur dan semua agensi memainkan peranan masing-masing,” ujar beliau.

Dalam operasi tersebut, petugas Pejabat Penerangan Daerah Jempol turut membuat edaran poster dan risalah serta hebahan awam mengenai COVID-19 dan turut memberikan penerangan berkaitan aplikasi MySejahtera bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat.

Hadir sama dalam operasi tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol, Raja Norazli Raja Nordin.

-AK

Tinggalkan komen anda