Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pemeriksaan Suhu Badan, Makan di Dalam Kelas Antara Garis Panduan KPM

By 4 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Ihsan KPM

PUTRAJAYA, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Pemeriksaan suhu badan di sekolah dan makan di dalam kelas pada waktu rehat antara kebiasaan baharu bakal diamalkan oleh pelajar apabila sekolah dibuka kelak.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata garis panduan itu menetapkan pemeriksaan suhu badan dilakukan oleh guru setibanya pelajar di pintu pagar sekolah dan sekiranya mereka bergejala tindakan selanjutnya akan diambil.

“Kita juga sedar pelajar ini kadang-kadang ke sekolah berjalan kaki, ada yang naik basikal dan suhunya tinggi sedikit daripada 37.5 darjah celsius…pelajar ini akan diminta berehat dahulu bagi memastikan suhu badan mereka kembali normal dan suhu diperiksa sekali lagi.

“Setiap sekolah juga memang kena ada bilik isolasi iaitu jika pelajar menunjukkan sebarang gejala maka mereka akan dibawa ke sini dan pihak sekolah selain menghubungi ibu bapa, juga akan berhubung dengan Pusat Kesihatan berdekatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kebiasaan baharu itu antara kandungan dalam Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mula diedarkan kepada sekolah dan dimuat naik di laman sesawang kementerian itu hari ini.

Garis panduan setebal 34 muka surat itu dihasilkan secara terperinci dan menyeluruh bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Mohd Radzi berkata ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai aspek penjarakan sosial ketika anak mereka di kantin memandangkan waktu rehat dijalankan secara berperingkat dan semua pelajar perlu makan di dalam kelas masing-masing.

“Pelajar perlu membeli makanan berbungkus dan mereka akan beratur mengikut garisan yang ditetapkan dengan jarak satu meter antara satu sama lain sebelum pulang ke kelas masing-masing untuk makan.

“Jadi, keadaan di kantin lebih tersusun dan ibu bapa tidak perlu risau anak-anak berebut ke kantin kerana masa rehat akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan tidak semua pelajar berkerumun di kantin dalam satu-satu masa tertentu…kita akan menjarakkan waktu rehat,” katanya.

Bagi memastikan penjarakan sosial antara pelajar terjaga, Mohd Radzi menjelaskan susunan meja bagi setiap kelas mesti dalam jarak satu meter dan sekiranya bilangan pelajar melebihi kapasiti meja disediakan, lebihan pelajar mesti ditempatkan di kelas lain.

Katanya, kedudukan pelajar di dalam makmal juga dijarakkan antara satu sama lain bagi membolehkan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik dan selamat.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda