Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Garis Panduan Kursus Pra Perkahwinan Islam di Melaka

By 4 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Haniza Harun (Melaka)/FB Jabatan Agama Islam Melaka

MELAKA, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah menyusun semula operasi Pengurusan Kursus Pra Perkahwinan Islam di Negeri Melaka yang akan dianjurkan oleh syarikat penganjur kursus memandangkan negara masih berdepan dengan wabak penyakit pendemik COVID-19 dan rakyat masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat, hanya pemohon yang telah mempunyai tarikh perkahwinan dalam tempoh tiga bulan sahaja dibenarkan mengikuti Kursus Pra Perkahwinan Islam ini. Tujuan penetapan ini dibuat adalah untuk memastikan pelaksanaan kursus lebih teratur dan terkawal serta memudahkan penyusuan jadual Kursus Pra Perkahwinan Islam yang dianjurkan oleh syarikat penganjur.

“Kursus tesebut hanya dibenar dilaksanakan di Masjid Al-Azim, semua Pejabat Agama Islam Daerah dan mana-mana lokasi yang telah ditetapkan oleh JAIM bagi memudahkan kehadiran para peserta mengikut daerah dan kehadiran yang dibenarkan hanya 15 hingga 20 orang peserta termasuk urus setia bagi setiap siri kursus yang dianjurkan.

“Peserta akan diasingkan antara peserta lelaki dan perempuan bagi memudahkan para peserta berinteraksi secara langsung dengan penceramah dan memudahkan para peserta memahami ceramah yang disampaikan,” katanya.

Menurut Md Azhan, satu garis panduan berkaitan penganjuran Kursus Pra Perkahwinan Islam secara bersemuka telah dikeluarkan pada 29 Mei 2020 oleh pihak JAIM. Garis panduan ini akan terpakai bermula 1 Jun 2020 sehingga PKPB ditamatkan dan berlanjutan enam bulan selepas PKPB ditamatkan serta tertakluk kepada arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia dari semasa ke semasa.

“Syarikat penganjur perlu menyediakan ruang solat dan makan yang selesa, sesuai serta mematuhi semua tatacara pencegahan penularan wabak Covid-19 yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“JAIM berharap semua peserta, penceramah dan petugas kursus dapat mematuhi tatacara pencegahan penularan wabak Covid-19 yang telah ditetapkan termasuk memakai penutup muka, melakukan penjarakan sosial, membuat imbasan suhu dan disinfeksi oleh petugas syarikat penganjur,’’ katanya lagi.

-KN

Tinggalkan komen anda