Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Penempatan Semula Keluarga OKU Taman Rahmat Berjaya

By 3 Jun 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: RA Othman (Marang)

MARANG, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Impian besar penduduk generasi pertama Taman Rahmat akhirnya menjadi kenyataan apabila menerima kunci rumah baharu melalui projek penempatan semula yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar  di perkampungan Taman Rahmat, Pulau Kerengga, di sini.

Projek penempatan semula keluarga generasi pertama yang terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU) fizikal, penglihatan, pendengaran dan OKU masalah pembelajaran selain ibu tunggal di Taman Rahmat telah dilaksanakan melalui Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) yang dibangunkan secara berperingkat mengikut daerah di Negeri Terengganu.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Samiun Salleh, pembinaan sebanyak 20 buah lagi PPTS di Taman Rahmat diteruskan pada tahun ini bagi menjamin kesejahteraan penduduk, sekaligus menyelamatkan keluarga yang kehilangan tempat berlindung kerana kerosakan teruk rumah asal mereka.

Acara potongan riben sebagai simbolik penyerahan rumah baharu kepada penghuni.

Acara potongan riben sebagai simbolik penyerahan rumah baharu kepada penghuni.

“Tapak rumah asal penduduk yang telah uzur dan musnah akibat serangan anai-anai telah kita bangunkan semula secara berperingkat dengan mendirikan sebanyak 10 unit rumah berukuran 600 kaki persegi yang menelan kos sebanyak RM460,000  keseluruhannya dengan sasaran menggantikan kesemua 54 buah rumah asal, bermula pada 2018 lalu.

“Projek PPTS atau dahulunya dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Marang sangat istimewa jika dibandingkan di daerah lain kerana peruntukan perumahan ini dikhaskan kepada perkampungan Taman Rahmat yang kebanyakannya adalah OKU serta golongan termiskin dan ibu tunggal yang tinggal di sini melebihi 40 tahun,” katanya.

Seorang penerima rumah baharu, Puteh Embong, 59 yang merupakan OKU fizikal, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana telah membantu beliau mendapatkan kediaman yang sempurna.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri diiringi isteri dan Pegawai Daerah Marang menyerahkan kunci rumah berserta barangan keperluan asas kepada penghuni Taman Rahmat, Puteh Embong.

Ahmad Samsuri (tengah) diiringi isteri dan Pegawai Daerah Marang menyerahkan kunci rumah berserta barangan keperluan asas kepada penghuni Taman Rahmat, Puteh Embong.

“Jika tidak kerana kesungguhan JKM dan kerajaan negeri membangunkan semula rumah-rumah di sini, pastinya saya masih hidup dengan keadaan rumah yang sangat uzur dan bocor yang banyak,” kata Puteh semasa ditanya mengenai perasaan beliau apabila tersenarai dalam 10 penerima bertuah kali ini.

Menteri Besar dan isteri meluangkan masa meninjau rumah baharu bersama penghuni dan anaknya.

Menteri Besar dan isteri meluangkan masa meninjau rumah baharu bersama penghuni dan anaknya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ramli Mat Som, 57, merupakan tenaga pengajar braille di rumah Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Seberang Takir kelihatan sebak dan meluahkan rasa syukur kerana bantuan ini secara tidak langsung telah memberi sinar baharu kepada beliau suami isteri.

Dalam majlis serahan ringkas berserta sumbangan barangan keperluan asas dan kuih raya, penerima turut diberi penerangan terperinci tentang prosedur dan peraturan yang perlu dipatuhi bagi memudahkan urusan pemindahan barangan sedia ada. Tempoh masa sebulan diperuntukkan kepada penerima supaya segera memindahkan barangan dan mengosongkan kediaman lama.

Ramli Mat Som meluahkan rasa syukur kerana terpilih menerima rumah baharu.

Ramli Mat Som meluahkan rasa syukur kerana terpilih menerima rumah baharu.

Turut mengiringi Menteri Besar dalam majlis ini ialah isteri beliau, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu,  Zuhaimi Omar, Yang di Pertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris.

-ii-

Tinggalkan komen anda