Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Perancangan Pembangunan Labuan Perlu Dilihat Dalam Konteks Yang Besar

By 8 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/AMH

LABUAN, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Segala perancangan pembangunan untuk Wilayah Persekutuan Labuan perlu dilihat dalam konteks yang besar.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, perkara itu termasuklah keperluan melihat hasrat dan intipati kerajaan mewujudkan Labuan sebagai sebahagian Wilayah Persekutuan.

“Saya ingin menyemak bagi pastikan hasrat asal kewujudan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan, kita kena nilai tahap pencapaiannya dan kalau ada perkara yang boleh diperbaiki.

“Ini membolehkan saya melihat dengan lebih mendalam potensi yang ada di Labuan supaya tidak bergantung hanya semata-mata kepada industri minyak dan gas dan Pusat Kewangan Luar Pesisir.

“Kita ingin lihat potensi lain yang ada supaya kita ada pelan baharu di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekaligus melihat kepentingan jangka masa panjang untuk Labuan sebagai sebahagian Wilayah Persekutuan,” katanya.

Annuar (dua dari kiri) sedang menerima taklimat perkembangan Projek Jalan Pesisir Pantai Membedai.

Annuar (dua dari kiri) sedang menerima taklimat perkembangan Projek Jalan Pesisir Pantai Membedai.

Jelasnya, Labuan perlu kekal dinamik, maju, progresif dan rakyatnya dapat menikmati hasil dari perancangan yang disediakan.

“Saya ingin melihat terlebih dahulu potensi, kekuatan atau kelemahan Labuan dan mula merangka tindakan-tindakan baharu,” katanya lagi.

Semasa mengulas mengenai cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah, Annuar berkata pembinaan jambatan itu perlu diberi perhatian serius.

“Kita terima hakikat pembinaan jambatan itu adalah satu permintaan yang perlu diberi perhatian cukup serius dan ada beberapa masalah teknikal, teknologi, kos, hubungan antara dua negeri serta semua aspek yang perlu dikaji,” jelasnya yang ditemui selepas menyampaikan Watikah Pelantikan anggota baharu Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) bagi Parlimen Labuan, di Wisma Perbadanan Labuan, petang semalam.

Beliau yang memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke Labuan turut menjelaskan kepentingan peranan yang perlu dimainkan MPPWP.

“Mereka akan bekerjasama dengan PL untuk melaksanakan program-pogram termasuk program sosioekonomi, menjadi penyampai kepada usaha-usaha penambahbaikan sistem penyampaian PL dan memastikan kita lebih dekat dengan rakyat di akar umbi,” kongsinya.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Rosida Jaafar, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman.

-SH

Tinggalkan komen anda