Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Permohonan Geran Agropreneur Muda Dibuka Sepanjang Tahun

By 14 Jun 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Program Agropreneur Muda MOA

PUTRAJAYA, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Permohonan Geran Agropreneur Muda kini dibuka sepanjang tahun bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk terus membangunkan industri makanan negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ronald Kiandee semalam.

Beliau berkata permohonan geran itu juga tidak tertakluk kepada tempoh masa tertentu seperti sebelum ini yang dibuka hanya pada Januari, Mei dan September sahaja.

“Namun, bagi urusan kelulusan, ianya masih tertakluk kepada peraturan dan penjadualan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Agropreneur Muda Sabah.

Kiandee berkata sejak 2016, seramai 6,005 usahawan tani muda telah mendapat bantuan geran dalam bentuk barangan bernilai sehingga RM20,000 berjumlah RM104.35 juta.

Untuk tahun ini, beliau berkata RM20 juta diperuntukkan untuk membangunkan 1,200 usahawan tani muda.

“Bagi fasa pertama tahun ini, seramai 238 pemohon telah diluluskan Geran Agropreneur Muda dengan nilai geran sebanyak RM4.01 juta,” katanya.

Kiandee turut memberitahu kementeriannya telah mengambil inisiatif untuk menyampaikan Kit Bantuan Makanan Agropreneur Muda kepada golongan kurang bernasib baik di Sabah.

Menurutnya, inisatif itu bagi membantu usahawan tani muda di negeri ini dalam bidang pemprosesan makanan yang telah mengalami kesukaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas.

“Selain membantu golongan kurang berkemampuan, inisiatif ini juga sebagai satu ruang untuk mempromosikan produk ushawan tani muda Sabah,” tambahnya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda