Laporan/foto: Nur Farhana Azman (Melaka Tengah)/Pejabat Ketua Menteri Melaka
MELAKA, 13 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Melaka akan memberikan lebih banyak kelonggaran kepada orang ramai untuk menjalani aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan secara berterusan.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan kerajaan negeri semalam, hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 Negeri Melaka yang telah diadakan pada 9 Jun 2020 lepas telah menetapkan bahawa perkhidmatan gunting rambut, pendandan dan kecantikan serta salun dibenarkan beroperasi pada 10 Jun 2020.
“Selain itu pasar terbuka termasuk pasar pagi, pasar malam dan bazaria akan dibenarkan beroperasi berkuatkuasa pada 15 Jun 2020. Aktiviti pelancongan domestik seperti penginapan hotel, lawatan ke muzium, Zoo Melaka dan pusat-pusat pelancongan juga sudah dibenarkan.
“Pusat sukan seperti gimnasium, dewan tertutup (indoor venue) seperti dewan badminton, kompleks sukan pelbagai, pusat snuker dan pusat-pusat sukan lain dibenarkan beroperasi bermula pada 15 Jun 2020,” katanya.
Operasi kompleks atau pusat sukan perlu mengisi borang notifikasi pembukaan terlebih dahulu melalui laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi rujukan SOP dan pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Borang boleh diakses mulai 8 Jun 2020.
“Sukan berpasukan pula dibenarkan untuk tujuan latihan sahaja tanpa sentuhan badan dengan penjarakan sosial 3 hingga 5 meter. Aktiviti sukan air di kolam renang juga masih kekal tidak dibenarkan termasuk aktiviti kolam renang di hotel-hotel.
“Gerai-gerai di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) serta surau-surau juga telah dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun 2020 dan sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” menurut kenyataan itu.
-KN