Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Baki Lebih 6,000 Taska Sudah Dibenarkan Beroperasi

By 3 Jun 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Jabatan Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Berita baik buat ibu bapa yang bekerja semula. Kerajaan kini membenarkan baki lebih 6,000 taman asuhan kanak-kanak (taska) beroperasi kembali.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata taska yang ingin beroperasi boleh merujuk prosedur operasi standard (SOP) disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Sebelum ini, pada peringkat awal, hanya 304 taska dibenarkan beroperasi.

Bercakap pada sidang media harian mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini, beliau berkata taman didikan kanak-kanak (tadika), taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) dan pra-sekolah di bawah kelolaan pelbagai kementerian lain pula dicadangkan dibuka Julai ini dan Kementerian Pendidikan akan menjadi penyelaras penyediaan SOP bagi tujuan tersebut.

Ismail Sabri berkata lebih banyak SOP termasuk cadangan lebih ramai jemaah solat di masjid, aktiviti keagamaan di rumah ibadat, perkhidmatan kedai gunting rambut dan pasar malam akan dibentangkan pada mesyuarat khas tersebut Sabtu ini.

Beliau berkata terdapat cadangan solat berjemaah mengikut keluasan masjid, contohnya Masjid Putrajaya yang boleh memuatkan 200 orang kalau mengikut penjarakan sosial dan bukan terhad kepada 30 orang.

“Perkara ini kita serah kepada menteri hal ehwal agama (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) bentang pada mesyuarat untuk pandangan Kementerian Kesihatan kalau hendak dilaksanakan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda