Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Semua Masjid Dibuka Mesti Patuhi SOP

By 19 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Muhammad Naim Mohd Shaari (Jempol)

JEMPOL , 19 Jun (Malaysiaaktif) – Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jempol telah mengadakan satu taklimat kepada semua pengerusi masjid kariah di daerah ini hari ini (Jumaat).

Taklimat tersebut dibuat bagi memberikan penjelasan terperinci kepada jawatankuasa masjid setelah pengumuman pembukaan semula masjid dalam negeri ini oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dibuat minggu lalu.

Menurut Pegawai di Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JHEAINS Danial Farhan, kebenaran jumlah jemaah untuk menunaikan solat adalah bergantung kepada kapasiti keluasan masjid terbabit namun paling utama adalah pihak jawatankuasa masjid mestilah memastikan bahawa jemaah yang ingin menunaikan solat adalah dalam kalangan ahli kariah warganegera Malaysia dan berumur 15 tahun ke atas sahaja.

“Sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan sebelum ini di masjid daerah iaitu Masjid Tuanku Muhriz, ianya turut diguna pakai untuk kesemua 42 masjid dan empat surau yang dibenarkan beroperasi di daerah ini,” ujarnya.

Terdahulu, garis panduan kepada orang awam yang hendak menunaikan ibadah solat Jumaat adalah melalui pendaftaran menggunakan laman sesawang JHEAINS, walau bagaimanapun bagi peraturan yang baharu ini ianya bergantung kepada jawatankuasa masjid sama ada membuat pendaftaran secara manual atau melalui sistem.

“Pihak masjid yang ingin membuat pendaftaran melalui sistem perlu memastikan liputan internet dalam keadaan baik terlebih dahulu dan memaklumkan kepada pejabat agama,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Agama Islam Daerah, Muzahar Mad Deli, berkata keputusan untuk masih tidak membenarkan jemaah wanita hadir ke masjid adalah keputusan yang dibuat dengan perbincangan yang melibatkan semua pihak bagi menjaga kemaslahatan agama dan kesejahteraan masyarakat, justeru, semua pihak perlu menerima dengan terbuka dan perlu memahami keadaan sekarang yang masih dibelenggu wabak COVID-19.

Muzahar turut berharap agar semua masjid mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan menghargai komitmen yang diberikan oleh semua pengerusi masjid serta agensi-agensi yang terlibat dalam membantu melancarkan urusan ini.

-AK

Tinggalkan komen anda