Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Siswazah Digalakkan Sertai Program Agropreneur Muda

By 15 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Siswazah digalakkan menyertai Program Agropreneur Muda dalam usaha kerajaan meremajakan sektor itu, sekali gus boleh mengurangkan pengangguran dalam kalangan lepasan institusi pengajian tinggi, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata kementerian itu telah bekerjasama dengan Kementerain Pengajian Tinggi dalam usaha menarik lebih ramai siswazah menyertai aktiviti pertanian.

“Tak mudah bagi kerajaan untuk membangunkan sektor ini dengan hanya penglibatan daripada golongan tua. Kita bukan sahaja mahu menarik minat anak muda tetapi juga golongan siswazah untuk menceburi bidang pertanian.

“Ini kerana pelbagai perubahan seperti mekanisasi, automasi dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.40) akan mudah dilakukan dengan penglibatan golongan cerdik pandai ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Agropreneur Muda Negeri Kelantan 2020 di Dewan Pejabat Kada Jajahan Tumpat, Kampung Paloh, Palekbang hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Abdul Aziz Kadir dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) Nik Roslan Idris.

Che Abdullah berkata sektor pertanian menjanjikan masa depan yang cukup baik menerusi pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan untuk individu yang berminat menceburi bidang berkenaan.

Beliau berkata sejak Program Agroprenuer Muda diperkenalkan pada 2016, setakat ini seramai 6,005 peserta telah mendapat bantuan geran masing-masing berjumlah RM20,000 membabitkan dana keseluruhan bernilai RM104.35 juta.

Katanya bagi Kelantan sahaja, seramai 378 peserta Agropreneur Muda telah menerima geran bantuan berjumlah RM6.46 juta manakala bagi Fasa 1 2020 pula membabitkan 44 peserta dengan pemberian geran berjumlah RM0.67 juta.

“Skop program merangkumi bantuan geran berbentuk barangan bernilai sehingga RM20,000 bagi projek baharu, menyediakan bantuan modal melalui Pakej Pembiayaan Khas Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sehingga RM50,000 dan Agrobank sehingga RM200,000 bagi projek pengembangan dan kursus jangka pendek di bawah kementerian.

“Program Agropreneur Muda ini membabitkan aktiviti tanaman, ternakan, perikanan, Industri Asas Tani (IAT) berasaskan makanan, agropelancongan dan pemasaran dengan peserta mestilah berumur antara 18 hingga 40 tahun,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda