Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Geran Lebih RM100 Ribu untuk Program RINTIS AADK-JaPen

By 17 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM111,900 Geran Antidadah Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia telah diluluskan sebagai rakan strategik bagi melaksanakan Program RINTIS Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama-sama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan bagi meningkatkan keberkesanan program pemulihan dadah.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan khusus untuk 12 buah kawasan untuk melihat kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dapat dijayakan.

“Tidak kurang daripada 15 buah jabatan dan agensi dari sembilan buah kementerian boleh bersatu sebagai satu pasukan dalam cuba menangani masalah dadah di 12 buah kawasan ini secara menyeluruh.

“Kita juga mengharapkan kerjasama dalam aspek permintaan program-program untuk mendidik anak-anak supaya tidak terjebak dalam penagihan dan juga dalam aspek menyekat kemasukan dadah ini,” katanya yang ditemui dalam kunjungan hormatnya ke jabatan tersebut, di sini semalam.

Menurut Zulkifli pelaksanaan Program RINTIS ini tidak lain bertujuan untuk meningkatkan kolaborasi antara AADK dengan jabatan-jabatan kerajaan.

“Kerjasama ini bertujuan memperkasakan fungsi dan peranan NGO dalam menggerakkan program pada peringkat komuniti dan pemilihan JaPen sebagai rakan strategik adalah berdasarkan kepakaran mereka dalam menyebarkan maklumat kepada peringkat sasar terutamanya di kawasan-kawasan terpencil.

“Untuk memenangi kumpulan sasar kita, JaPen mempunyai kemahiran, teknologi, memiliki peralatan yang sesuai yang boleh membantu kita dan kita memang ada menjalin kerjasama sejak dahulu lagi,” katanya.

Sebanyak 12 kawasan telah dikenalpasti dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah substan dan pelencongan sosial melibatkan tujuh buah negeri; Kedah (3), Perlis (1), Selangor (3), Kelantan (1), Terengganu (1), Kuala Lumpur (1) dan Johor dua kawasan terlibat.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut, Timbalan Ketua Pengarah JaPen (Komunikasi Strategik) Datuk Mohd Sukari Ab. Hamid, ketua-ketua bahagian serta wakil-wakil agensi tersebut.

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda