
Laporan/foto: Mahadi Mustafa/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 2 Julai (Malaysiaaktif) – Unit Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Pejabat Kesihatan Daerah Dungun melaksanakan aktiviti survelan di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Daerah Dungun sebagai satu langkah pencegahan bagi memastikan tiada penularan COVID-19 berlaku di tempat kerja terutama premis yang mempunyai golongan berisiko tinggi.
Menurut, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun, Kapt (PA) Ramlan Ros Wahid, secara keseluruhan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Dungun terlibat dalam menguruskan pusat kuarantin sementara di Hotel Universiti Teknologi Mara (UiTM Dungun) dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
“Lapan anggota dari Daerah Dungun telah ditugaskan di pusat kuarantin di ibu negara, Kuala Lumpur dan setelah kembali, mereka menjalani saringan di Pusat Kuarantin di Kemaman,” katanya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Dungun, Kapt (PA) Ramlan Ros Wahid (berdiri di tengah ) bergambar kenangan kenangan bersama pegawai dan kakitangan Kesihatan Daerah Dungun setelah selesai aktiviti Survelan di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Daerah Dungun.
Ramlan berkata Daerah Dungun pernah mencatatkan 38 kes dan ia merupakan rekod kes positif COVID-19 tertinggi di Negeri Terengganu.
“Semasa di pusat kuarantin tersebut, pihak kami berhadapan serta terdedah dengan pesakit dalam siasatan (PUI) dan sudah pasti aktiviti survelan yang telah dilaksanakan ke seluruh anggota memberi kelegaan buat kami untuk mengetahui status kesihatan dan benar-benar bebas daripada jangkitan COVID-19,” katanya lagi.
Bagi Anggota APM Dungun, Noor Haida Muda pula, beliau berpendapat aktiviti survelan sangat memberi manfaat kepada petugas barisan hadapan yang terdedah kepada risiko.
“Dengan adanya survelan ini, sekurang-kurangnya kita tahu akan status kesihatan diri dan langkah persediaan kita bagi menghadapi apa jua keputusan.
“Selama ini, saya hanya mendengar pengalaman PUI yang melakukan saringan, perasaan gementar tetap ada, namun setelah dibuat survelan, ia tidaklah sakit, cuma rasa tidak selesa itu saja,” katanya.
-ii-