Skip to main content
HomePutrajaya

Hayati Nilai Sejarah, Imbas Kembali Pengorbanan Bentuk Jati Diri Merdeka – Zahidi

By 24 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: KKMM

Putrajaya, 23 Jul (Malaysiaaktif) — Rakyat perlu menghayati nilai sejarah dan mengimbas kembali pengorbanan orang terdahulu untuk membentuk jati diri sebuah negara merdeka.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata rakyat hari ini hidup sejahtera kerana jasa orang terdahulu dan asasnya ialah Rukun Negara.

“Pengisian (prinsip) (Rukun Negara) yang cukup baik dan ia perlu sentiasa diamalkan,” katanya semasa ditemu bual dalam Program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual melancarkan program tersebut pada 28 Julai ini di Putrajaya.

Merujuk kepada lima prinsip Rukun Negara, Zahidi berkata ideologi itu menjadi pegangan rakyat sejak 50 tahun yang lalu dan berharap ketaatan terhadap negara kekal terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Mengulas mengenai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’, Zahidi berkata ia membawa pengertian ketabahan semua rakyat Malaysia dalam mengharungi COVID-19.

Selain itu, ia menggambarkan keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat ditunjukkan melalui inisiatif PRIHATIN yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan melalui KKMM dan agensinya telah merancang untuk melaksanakan empat aktiviti utama untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

“Jabatan Penerangan juga giat menjalankan Info On Wheels mengenai aspek kemerdekaan dan terdapat pelbagai aktiviti yang bakal dijalankan bagi menyemarakkan semangat patriotik,” katanya.

Selain program sambutan itu, aturcara berkaitan yang disusun atur dan telah dilancarkan ialah Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara (9 Julai), Sambutan Hari Kebangsaan 2020 pada 31 Ogos 2020 di Kuala Lumpur dan Sambutan Hari Malaysia 2020 pada 16 Sept 2020 di Sibu, Sarawak.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing dan premis perniagaan sebagai tanda dan semangat cintakan negara.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda