Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

ILKA, ILKS Mula Beroperasi Secara Berperingkat

By 11 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Sejumlah 1,301 penyedia latihan kemahiran terdiri daripada 784 Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan 517 Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) telah mula beroperasi secara berperingkat sejak awal bulan ini.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan hari ini berkata operasi melibatkan seramai 79,638 pelajar ILKA dan 19,563 pelajar ILKS.

“ILKA dan ILKS akan beroperasi berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Perkhidmatan Latihan Kemahiran yang telah diluluskan dan diwartakan pada 26 Jun 2020 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Menurutnya Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di bawah kementerian yang juga termasuk dalam kategori ILKA pula, akan mula beroperasi pada 1 Sept ini.

Kementerian itu berkata seramai 5,847 pelajar baharu akan ditawarkan untuk mengikuti pelbagai kursus kemahiran di bawah ILJTM.

KSM berkata ILJTM akan menggunakan kaedah pembelajaran secara maya dengan kemudahan platform digital akan disediakan untuk pelajar mengikuti kelas secara kendiri dan berjadual.

“Pelajar-pelajar yang tidak mempunyai akses kepada kaedah pembelajaran dalam talian akan diminta untuk mengunjungi kampus ILJTM yang berhampiran dengan mereka,” katanya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda