Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Maritim Tahan Nelayan Vietnam Tangkap Gamat

By 11 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya menahan sebuah bot Vietnam ketika sedang melakukan aktiviti menangkap gamat di perairan Terengganu, kelmarin.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata bot yang membawa lima awak-awak termasuk tekong berumur antara 36-58 tahun itu ditahan di kedudukan 42 batu nautika Timur Laut dari Kuala Kemaman pada pukul 6.25 petang oleh Kapal Maritim (KM) Satria.

Beliau berkata kesemua yang ditahan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri mahupun permit menangkap ikan yang sah dari Jabatan Perikanan Malaysia, dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63.

“Sebanyak 100 kilogram gamat, kira-kira 1,000 liter diesel dan peralatan menangkap gamat yang dianggar bernilai RM800,000 telah dirampas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Rashidilhadi berkata operasi membanteras pencerobohan nelayan Vietnam akan dilakukan sepanjang masa dengan menggunakan pelbagai kaedah bagi melindungi hasil laut negara dari dicuri dan dirompak oleh nelayan asing.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda