
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Jambatan di laluan utama Kuala Pilah-Tampin, ditutup untuk pembaikan kepada semua jenis kenderaan mulai 12 tengah malam kelmarin sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Jurutera Daerah Kuala Pilah, Ir. Mohd Faizul Mohd Ali Hanafiah, berkata penutupan ini disebabkan oleh kerosakan pada struktur jambatan di Seksyen 23.6 yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Oleh yang demikian, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif seperti berikut, laluan alternatif pertama dari Tampin akan melalui Laluan N14 (Persimpangan Inas) – Laluan N123 (Inas-Senaling) – Laluan N24 dan masuk semula FT009 (Persimpangan Pekan Senaling) untuk ke Kuala Pilah.
“Laluan alternatif kedua dari Kuala Pilah melalui laluan N22 (Senaling-Kepis) – Laluan N17 (Bahau-Dangi) dan masuk semula ke persimpangan FT009, Johol untuk ke Tampin,” ujarnya.
Beliau mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan peka dengan sebarang pengumuman yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Pilah.
-SH