Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lanjutan Moratorium Bukti Kerajaan Komited Bantu Rakyat – CUEPACS

By 30 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 30 Jul (Malaysiaaktif) –  Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan pelanjutkan moratorium jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membantu rakyat khususnya mereka yang berada dalam kesempitan ketika ini.

Presidennya Adnan Mat berkata pihaknya menyambut baik langkah kerajaan melanjutkan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

“Cuepacs juga memuji komitmen bank dan institusi kewangan di negara ini yang sanggup bersama kerajaan dalam mengharungi waktu sukar.

“Dalam masa yang sama kita berharap agar proses pemberian moratorium dan bantuan bersasar ini tidak dirumitkan dengan kerenah birokrasi yang akan menyulitkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya Cuepacs mencadangkan agar Bank Negara menetapkan satu standard yang boleh diguna pakai oleh semua bank serta institusi kewangan di negara ini bagi memastikan tiada syarat atau kerenah birokrasi dilakukan oleh insitusi kewangan tanpa pengetahuan kerajaan hingga menyulitkan rakyat.

Beliau berkata pemberian moratorium dan bantuan bersasar ini perlu mengambil kira keseluruhan pendapatan isi rumah dan bukan individu yang mempunyai pinjaman sahaja.

Sementara itu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata institusi perbankan negara perlu bersama-sama meneruskan pelaksanaan tempoh lanjutan moratorium baharu kepada peminjam.

Beliau berkata dalam keadaan ekonomi kini yang menekan kemampuan rakyat untuk membayar pinjaman, perkembangan itu adalah amat diperlukan.

“Untuk menstabilkan keadaan sekarang bukanlah perkara yang mudah, jadi pihak bank perlu memberi kerjasama kepada peminjam dan jangan ambil kesempatan terhadap mereka yang sedang dalam kesempitan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Perasatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusoff Abdul Rahman dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz menyokong lanjutan tempoh tersebut.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada pandemik COVID-19 manakala yang selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda