Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Matta Fair 2020 Dalam Talian Satu Lonjakan Promosi Pelancongan

By 30 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan MATTA Fair Dalam Talian 2020 sebagai satu inisiatif baharu untuk memudah cara ahli-ahli persatuan itu menjual pakej percutian terutamanya untuk percutian dan perjalanan domestik.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata acara itu akan berlangsung dari 9 hingga 15 September tahun ini dengan kerjasama pelbagai rakan kongsi pelancongan untuk menyediakan pelbagai diskaun menarik seiring dengan  permintaan  pelancongan tempatan semasa.

“MATTA bekerjasama rapat dengan rakan kongsi dan penaja yang berpotensi termasuk Tourism Malaysia, Malaysia Airlines, Penang Global Tourism, Persatuan Hotel Malaysia, Persatuan Taman Tema dan Pusat  Hiburan Keluarga Malaysia, Persatuan Spa Malaysia, BOOST, IPAY88 dan lain-lain pejabat pelancongan negeri.

“Untuk menambah keseronokan di MATTA Fair Dalam Talian, pempamer akan menawarkan tawaran  terbaik  mereka  dengan perkhidmatan tambah nilai pada kadar istimewa dan potongan harga serta pelanggan  boleh melihat banyak pakej pelancongan dan perjalanan dengan pelbagai julat  barangan nic dan produk terkini,”  katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata mereka sedang bekerja keras menerusi acara MATTA Fair Dalam Talian biarpun keadaan mencabar berikutan pandemik COVID-19.

Pendaftaran untuk penyertaan acara bermula hari ini sehingga 10 Ogos dan untuk lebih maklumat terkini, sila lawat akaun MATTA Fair facebook @mattafairkualalumpur dan akaun Instagram rasmi  @mattafair.

— BERNAMA

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda