Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lebih RM18 Juta Disalur kepada Institusi Pendidikan Islam Terjejas Akibat COVID-19

By 28 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan telah menyalurkan bantuan RM18.4 juta kepada 1,830 institusi pendidikan Islam sehingga 30 Jun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata bantuan itu adalah daripada peruntukan bantuan ‘one-off’ RM21 juta yang diperuntukkan atas keprihatinan kerajaan kepada institusi pendidikan Islam yang terjejas dari sudut pengurusan operasi dan sara diri ekoran wabak COVID-19.

“Sebanyak 979 tahfiz, 204 sekolah pondok dan 647 Sekolah Agama Rakyat atau Sekolah Agama Swasta menerima bantuan itu,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) mengenai jenis bantuan kerajaan kepada institusi pendidikan Islam yang terkesan akibat penutupan susulan penularan COVID-19.

Mengenai Tabung Musaadah COVID-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zulkifli berkata sumbangan daripada tabung itu disalurkan kepada semua golongan memerlukan termasuk taska swasta sekiranya menepati syarat ditetapkan.

“Bantuan disalurkan kepada Orang Asli, nelayan, asnaf, sekolah dan pelajar universiti mengambil kira kepada permohonan asalkan menepati kriteria ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Fuziah yang meminta penjelasan adakah tabung itu mempunyai kepentingan politik.

Pada masa sama, Zulkifli menolak dakwaan bahawa Tabung Musaadah COVID-19 Jakim digunakan untuk tujuan kepentingan peribadi.

Katanya, perbelanjaan daripada Tabung Musaadah COVID-19 Jakim yang dilancarkan pada 24 Mac lepas itu merentasi semua perkara sebagai inisiatif membantu meringankan beban pihak yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda