Laporan/foto: Nurhasnani Abdul Wahab (Melaka)/ FB Rasmi Sulaiman Md Ali
MELAKA, 1 Jul (Malaysiaaktif) – ‘Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia’ dipilih sebagai slogan baharu negeri Melaka seperti diumum oleh Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali, dalam Majlis Amanat Melakaku Maju Jaya di hadapan 250 orang penjawat awam di peringkat negeri dan persekutuan yang berlangsung pagi tadi.
Sulaiman berkata slogan baharu itu dipilih bagi menzahirkan rasa kepunyaan dan memiliki atau sense of belonging, membangkitkan roh serta semangat kekitaan rakyat negeri ini yang berbilang agama, bangsa dan budaya supaya dapat hidup bersatu, saling bantu membantu.
“Melakaku Maju Jaya membawa pengertian Melaka yang terus kekal maju ke hadapan, makmur, berdaya saing, lebih berjaya, berjati diri, mempunyai kesemua ramuan kejayaan, seperti efisyen, cepat bertindak dalam memenuhi kesemua KPI.
“Melaka sebagai sebuah Kerajaan kontemporari, futuristik, responsif dan sentiasa bersedia dengan perubahan serta kemajuan teknologi dunia, khususnya untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Ekonomi Digital (digital economy) serta masyarakat 5.0 (society 5.0).
“Rakyat Bahagia bermula daripada usaha sebuah Kerajaan negeri yang berjiwa rakyat, prihatin, mendengar keluhan dan merasai denyut nadi rakyat, khususnya rakyat B40, supaya rakyat dapat hidup bahagia,” katanya.
Jelas Sulaiman, “Menggamit Dunia” pula dimasukkan dalam slogan ini kerana ingin memanggil, mencuit, menarik, perhatian dunia, bukan sahaja pelancong, bahkan para pelabur serta negara-negara lain untuk berkunjung, melabur dan menyakini bahawa Melaka adalah sebuah destinasi pelancongan dan Pendidikan terkemuka di dunia.
Dalam pada itu, orang ramai dijemput menyertai pertandingan mencipta Logo bagi slogan baharu ini nanti.
-KN