Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SHAH ALAM, 1 Julai (Malaysiaaktif) – Semua masjid dan surau di negeri Selangor dibuka semula untuk mendirikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bermula 3 Julai ini.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan agar semua masjid dan Surau Kebanaran Jumaat dibuka untuk mendirikan Solat Jumaat.
“Jumlah kehadiran jemaah bagi Solat Jumaat dan Solat Fardhu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya ditetapkan 1,000 orang tidak termasuk pegawai dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid.
“Jumlah kehadiran jemaah bagi Solat Jumaat dan Solat Fardhu di semua masjid lain ditetapkan maksimum 500 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid, tertakluk kepada kapasiti masjid yang berkenaan.
“Kehadiran jemaah di Surau Kebenaran Solat Jumaat bagi mendirikan Solat Jumaat dan Solat Fardhu ditetapkan pada 40 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Surau,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, DYMM Sultan Selangor turut bertitah agar ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha hanya dilaksanakan di masjid-masjid sahaja,
“Namun bagi Surau-surau yang telah pun merancang melakukan ibadah korban, boleh melaksanakannya di masjid-masjid berdekatan.
“Setiap jemaah wajib mematuhi SOP yang telah ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka ketika hadir di Masjid dan Surau serta mengamalkan penjarakan sosial.
“Bagi mereka yang tidak sihat adalah dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di masjid dan surau,” titah baginda.
-NAZ