
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Islamic Relief Malaysia (IRM) menerima tajaan sebanyak 1,458 bahagian korban dari rakyat Malaysia bersempena Aidiladha tahun ini.
IRM dalam kenyataannya hari ini berkata jumlah itu adalah untuk tujuh pakej bernilai antara RM320 hingga RM1,500 satu bahagian dan tajaan melibatkan 31 negara seperti Niger, Mali, Malawi, Chad, Somalia, Yaman, Palestin, Syria, Myanmar, Afrika Selatan, Turki dan Palestin.
Menurut kenyataan itu, IRM masih membuka peluang untuk menaja 346 bahagian lagi sehingga tarikh tutup penyertaan pada 24 Julai ini.
“Kami menyeru kepada rakyat Malaysia yang berkemampuan untuk menaja bahagian korban terutamanya Pakej C bernilai RM580 satu bahagian untuk negara Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan; Pakej D bernilai RM750 untuk Malaysia, Sudan Selatan, Chechnya, Sudan, Filipina dan India serta Pakej F bernilai RM1,200 untuk Bosnia, Jordan, Lubnan, Macedonia dan Indonesia,” kata IRM.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam IRM – 12 029 01 006564 3 atau CIMB Islamic – 860 2073818.
Hantar slip bayaran berserta nama pemegang akaun, nombor MyKad, nombor telefon, alamat, e-mel dan penama korban kepada [email protected] atau Whatsapp ke talian 0196379788 untuk tujuan resit dan rekod.
— BERNAMA