Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Seramai 5,265 Usahawan Perkhidmatan Sentuhan Fizikal Terjejas Teruk Akibat COVID-19

By 24 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 5,265 orang usahawan yang menjalankan bidang perkhidmatan secara sentuhan fizikal terdiri daripada pelbagai jenis aktiviti perniagaan merupakan antara usahawan yang terjejas teruk semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19, demikian Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, perkhidmatan melibatkan sentuhan fizikal merupakan sektor yang berisiko untuk meluaskan penyebaran wabak sekiranya tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Berikutan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lepas, kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup kecuali hanya sektor-sektor tertentu yang dibenarkan beroperasi secara berperingkat.

“Situasi ini memberi kesan kepada para usahawan yang mana ada antara mereka yang tidak mampu membayar sewa premis, membayar gaji pekerja serta membayar pinjaman sedia ada dengan pihak penyedia kewangan,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat.

Ia bagi menjawab soalan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) mengenai statistik penglibatan dan impak pasca COVID-19 ke atas usahawan dalam bidang perkhidmatan secara sentuhan fizikal seperti pusat rehabilitasi, spa, perkhidmatan latihan kecergasan peribadi dan perkhidmatan dandanan.

“Oleh yang demikian, operasi perniagaan yang melibatkan sentuhan fizikal baru sahaja dibenarkan beroperasi pada 10 Jun, 2020, setelah hampir tiga bulan terpaksa menutup premis,” kata kementerian tersebut.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda