Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Ingkar PKPP Meningkat kepada 253 Orang

By 31 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Jumlah yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam meningkat kepada 253 orang berbanding 84 pada Sabtu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 219 individu telah dikompaun manakala 32 pula direman dan dua orang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (116), gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (23), tidak memakai pelitup muka (26), premis beroperasi lebih masa (2), dan ceroboh pusat kuarantin (2).

“Selain itu, kesalahan lain ialah aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal  (70), gagal lunaskan bayaran pusat kuarantin (1), serta terlibat dalam aktiviti perjudian (13),” katanya dalam kenyataan berhubung PKPP hari ini.

Ismail Sabri berkata sebanyak 64,929 pemeriksaan dibuat bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP)  PKPP  di pasar raya, restoran serta penjaja, kilang, bank, pejabat kerajaan selain pemantauan di terminal pengangkutan darat, air serta udara.

Menyentuh mengenai Operasi Benteng, beliau berkata sebanyak 63 sekatan jalan raya Op Benteng dijalankan di seluruh negara semalam dan 27,197 kenderaan diperiksa bagi mengekang pendatang tanpa izin terutamanya di lorong tikus, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata seramai 20,455 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa bagi tempoh 24 Julai hingga 30 Ogos dan kesemua mereka ditempatkan di 73 hotel serta empat institut latihan awam.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,917 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 56 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 11,482 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau berkata kesemua mereka pulang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Ismail Sabri juga berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan 220 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemuanya didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

Bagi keperluan barang asas, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah melakukan 1,264 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,196 premis mematuhi SOP manakala 43 premis diberi nasihat dan 25 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda