Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PKPP Dilanjutkan Sehingga 31 Dis

By 29 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik Majlis Keselamatan Negara

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijadual berakhir Isnin ini dilanjutkan sehingga 31 Dis depan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, dengan pelanjutan tempoh PKPP, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil.

“Ini adalah untuk memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan,” katanya dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini PKPP yang disiarkan di televisyen tempatan.

Pada 7 Jun lepas, perdana menteri mengumumkan pelaksanaan PKPP sehingga 31 Ogos bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas Malaysia berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Muhyiddin menekankan sekiranya berlaku peningkatan kes-kes jangkitan di lokaliti tertentu, kerajaan akan melaksanakan pendekatan secara bersasar seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar yang telah dilaksanakan di beberapa kawasan sebelum ini.

Menyedari bahawa rakyat Malaysia tidak boleh mengambil mudah risiko penularan virus ‘super spreader’ dalam negara, beliau berkata peraturan kuarantin yang ketat di tempat-tempat tertentu akan terus dikuatkuasakan.

“Negara kita masih berhadapan cabaran getir dalam menangani penularan wabak COVID-19, mengambil kira virus ini masih menular secara aktif di seluruh dunia. Melihat kepada kes-kes yang berlaku di luar negara, virus ini bukan sahaja masih aktif malah menular secara cepat pada skala yang besar.

“… sepertimana yang berlaku menerusi kluster Sivagangga, Tawar dan Sala di negeri Kedah, Sanglang di Perlis dan juga kluster di negeri Sarawak baru-baru ini. Risiko ini perlu ditangani segera dan dikawal dengan tindakan-tindakan yang tegas dan tangkas sebelum ia merebak dengan lebih meluas,” katanya.

Perdana Menteri berkata ia termasuk tindakan kerajaan untuk memperketat kawalan sempadan negara, selain mewajibkan rakyat yang pulang dari luar negara dan warga asing yang memasuki Malaysia menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di stesen-stesen kuarantin yang ditetapkan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda