Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 17 Sept (Malaysiaaktif) – Kira-kira 100 orang peserta telah menyertai Program Jom Hiking@Bukit Temeris di Kampung Temeris, di sini pagi tadi.
Pengelola Program, Ab Hamid Salim, berkata program ini dirancang bagi menarik minat masyarakat kampung untuk bersama-sama mendaki bukit tersebut sebagai aktiviti riadah.
“Laluan mendaki bukit ini tidaklah sukar tetapi agak mencabar dan peserta perlu berhati-hati dengan keadaan persekitaran ketika mendaki,” katanya ketika ditemui.
Tambah Hamid, pihaknya juga ingin mempromosikan laluan mendaki Bukit Temeris ini sebagai salah satu produk eco-pelancongan di kampung tersebut.
Menurut salah seorang peserta, Maznah Mansor, aktiviti mendaki bukit ini merupakan julung kali dijalankan di kawasan bukit tersebut.
“Program mendaki ini boleh menjadi salah satu aktiviti cara hidup sihat buat masyarakat setempat sambil melakukan senaman berjalan mengelilingi kampung,” ujarnya.
Laluan pendakian ke Puncak Bukit Temeris dari jalan besar adalah kira-kira tiga kilometer dan persekitarannya adalah kawasan kebun sawit yang diusahakan oleh Felcra Temeris, serta apabila sampai di puncak, pendaki boleh melihat seluruh kawasan tanaman sawit sehingga ke Felda Kepis yang terletak di sebelah timur bukit tersebut.
-AK