Skip to main content
HomePutrajaya

Aset Rizab Rasmi Malaysia Berjumlah AS$104.41 Bln Pada Akhir Ogos 2020

By 30 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Aset rizab rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) setakat 31 Ogos, 2020 berjumlah AS$104.41 bilion, mengikut format Special Data Dissemination Standard (IMF SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata aset mata wang asing lain berjumlah AS$1.61 bilion pada akhir Ogos, 2020.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing yang termasuk antaranya  pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan pembayaran balik perolehan daripada Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara apabila matang, berjumlah AS$8.72 bilion,” katanya.

Bank pusat berkata kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak US$8.37 bilion manakala jumlah kedudukan hadapan panjang sebanyak AS$1.58 bilion pada akhir bulan Ogos 2020, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek,” katanya.

Menurut BNM, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.31 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang, dan satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$277.1 juta.

Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda