Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Komuniti Hab ‘Ruang Sosial Generasi Baharu’

By 28 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sharifah Ithnin (Alor Gajah)/FB MPHTJ

MELAKA, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya melalui Urbanice Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama rakan strategik swasta serta agensi kerajaan seperti Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (Perpustam), Jabatan Pertanian Melaka dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah berjaya membangunkan Komuniti Hab Pangsapuri Murai Jaya.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, projek ini memberi penekanan khusus untuk golongan miskin bandar, asnaf dan komuniti B40 dalam memastikan kehidupan dalam bandar yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan mampan dalam menjalankan aktiviti seharian, ekonomi dan menggalakkan hubungan kejiranan yang sihat.

“Saya berharap agar program ini dapat berjalan secara berterusan. Penyelenggaraan, kesinambungan dan kelestarian itu penting dan ini yang akan memastikan sama ada komuniti itu berjaya atau tidak,” ujar Zuraida ketika berucap di pelancaran Komuniti Hub Pangsapuri Murai Jaya, baru-baru ini.

WhatsApp Image 2020-09-25 at 09.48.47

Menurut Zuraida, Komuniti Hab yang dibangunkan ini bertujuan mempromosikan gaya hidup kemampanan iaitu bersemangat dan berdayahuni yang merupakan satu ‘Ruang Sosial Generasi Baharu’ sebagai usaha memperkasakan komuniti yang sejahtera dalam mencapai Agenda Lestari 2030.

“Pelaksanaan Komuniti Hab ini juga sedikit sebanyak dapat menyokong Agenda Pertumbuhan Mampan 2030 – tiada yang ketinggalan dan bandar untuk semua) yang selaras dengan Dasar Komuniti Negara.

“Projek ini hanya mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan dan direka bentuk menggunakan kontena. Ia dilengkapi kemudahan seperti perpustakaan mini dan ruang pembelajaran, sistem penuaian air hujan, ‘art plaza’, projek kebun kita, inisiatif rendah karbon, dan “community low-income entrepreneur programme” yang menjadi nilai tambah dalam memperkasakan komuniti,” katanya.

Projek ini telah dirasmikan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Melaka Datuk Seri Ghafar Atan mewakili Ketua Menteri Melaka.

Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan dan Budaya Negeri Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis, Ketua Setiausaha KPKT Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Shadan Othman.

-KN

Tinggalkan komen anda