Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia Catat 62 Kes Baharu, Jumlah Terkumpul Kini Cecah Lima Angka

By 17 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia mencecah lima angka iaitu 10,031 kes selepas 62 kes baharu direkodkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Perkembangan terkini itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 668 kes.

Dr Noor Hisham berkata daripada kes baharu itu, 61 kes mendapat jangkitan dalam negara membabitkan 41 warganegara dan 20 bukan warganegara manakala satu kes import melibatkan seorang warganegara yang pulang dari India.

Sebanyak 59 kes baharu adalah di Sabah melibatkan 48 kes daripada Kluster Benteng LD termasuk 20 bukan warganegara, katanya dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19 di dalam negara, semalam.

Beliau berkata selain itu, kes di Sabah itu melibatkan saringan petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu (empat kes); saringan di Pintu Masuk Antarabangsa dari Semenanjung (tiga kes); saringan di Klinik Kesihatan Lahad Datu (dua kes); dan Kluster Pulau dan di Penjara Sandakan masing-masing satu kes.

“Kedah turut mencatatkan satu kes daripada Kluster Sungai dan Pulau Pinang dengan satu kes daripada saringan kontak rapat kepada kes ke-9,397 dan kes ke-9,459. Beliau merupakan ahli keluarga kepada kedua-dua kes itu dan kesemua mereka duduk serumah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 26 kes COVID-19 yang telah pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan penyakit itu adalah 9,235 kes atau 92.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tiada kematian baharu direkodkan, menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat pandemik itu kekal 128 kes, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda