Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Sambutan Hari Malaysia 2020 Serlah Keakraban Hubungan Sarawak, Sabah, Semenanjung

By 17 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Kementerian Komunikasi dan Multimedia

PUTRAJAYA, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Keakraban hubungan di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia jelas terselah di tanah bertuah Bumi Kenyalang walaupun terpaksa meraikan Hari Malaysia ke-57 di Stadium Tertutup Sibu malam tadi dalam norma baharu susulan penularan wabak COVID-19.

Sambutan yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud  dilaksanakan dengan jumlah jemputan seramai 500 orang dan berskala kecil bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Acara utama sambutan Hari Malaysia 2020 yang bertemakan Malaysia Prihatin itu menggabungkan dua elemen utama iaitu persembahan pentas dan digital.

Antaranya upacara menandatangani Buku Khas Hari Malaysia di antara Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar mewakili Ketua Menteri Sabah, diikuti Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil disaksikan Abdul Taib.

Selain itu, upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh 13 anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) diiringi nyanyian lagu Negaraku dan lagu Keranamu Malaysia.

Paling mencuri tumpuan ialah persembahan khas oleh artis jemputan Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Adira. Persembahan ini menggabungkan artis daripada Sabah, Sarawak dan Semenanjung dan diiringi oleh 12 orang penari daripada Aszarie Dancing Group.

Kemeriahan sambutan dengan semangat patriotisme kian membara dalam kalangan hadirin yang hadir selepas video khas: ‘Kita Malaysian’ ditayangkan.

Video itu memaparkan mesej tentang nilai persahabatan, kemanusiaan, kejujuran, kasih sayang, saling menghormati dan semangat patriotik tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan budaya.

Acara sambutan diteruskan dengan persembahan mini orkestra yang mendendangkan dua buah lagu iaitu ‘Kawan Setia’, yang menceritakan tentang nilai persahabatan yang harus dihargai, dan ‘Wawasan Berkikis Bulu Betis’ yang digubah semula itu pula berkisar mengenai pembangunan yang telah dikecapi oleh rakyat dan nasihat kepada anak-anak muda untuk mencapai cita-cita.

Antara keunikan persembahan yang disajikan pada malam ini termasuk tarian khas Soul of Sarawak yang ditarikan oleh 20 orang penari daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Sarawak (JKKN) memaparkan keunikan kepelbagaian budaya di Sarawak yang menjadi tunjang kepada pembentukan semangat dan jati diri anak-anak Sarawak.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda