Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Penduduk Terjejas PKPD Terima Bantuan Mencukupi

By 22 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Kuala Muda)

SUNGAI PETANI, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Penduduk Zon Melor di Amanjaya, di sini yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran menerima pelbagai bantuan dan makanan yang telah diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan disampaikan melalui Angkatan Pertahanan Awam (APM) sepanjang tempoh PKPD dijalankan.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md. Noor, menyampaikan bantuan segera sebanyak RM200 bagi setiap keluarga melibatkan jumlah peruntukkan RM125,800.

“Bantuan kewangan ini, sedikit sebanyak meringankan beban kewangan keluarga terlibat dan menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu penduduk yang terjejas dalam PKPD ini.

“Melalui JKM, penduduk terjejas diberikan bakul makanan sebanyak dua kali, bernilai RM100 setiap satu kepada keluarga terlibat sejak PKPD dilaksanakan.

“Bagi bekalan minyak kenderaan pula, penjualan secara terkawal telah dilaksanakan oleh Perkhidmatan Stesen Minyak Bergerak (ROVR) Petronas dengan penjualan minyak dilaksanakan setiap hari sehingga tempoh PKPD tamat dan dikawal selia sepenuhya oleh KPDNHEP,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Sanusi, kerjasama pelbagai pihak dalm menghulurkan bantuan amat dihargai dan kerajaan negeri amat berbesar hati dengan penglibatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang gigih membantu.

“Terdapat lebih kurang 10 NGO menyampaikan sumbangan masing-masing, antaranya berupa bekalan makanan kering dan basah, sayur-sayuran serta buah-buahan yang dianggarkan lebih tiga tan, termasuk 200 beg makanan serta lain-lain keperluan asas, dan bantuan bekalan ikan segar akan disampaikan oleh sebuah badan bukan kerajaan melalui JKM yang dijadualkan akan mula diedar esok (Rabu).

“Antara NGO terlibat termasuklah Malaysian Relieves Agency (MRA), Persatuan Bulan Sabit Merah, individu-individu prihatin serta wakil-wakil rakyat kawasan, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang yang juga turut menyumbang jagung dan semua sumbangan ini diselaraskan sepenuhnya oleh JKM yang bertindak sebagai Pusat Pengumpulan Bantuan PKOB Kuala Muda,” katanya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda