Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Alor Setar)
ALOR SETAR, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, berharap hubungan antara pegawai kerajaan persekutuan dan negeri dapat dipereratkan agar matlamat memajukan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Saya berharap hubungan baik ini dapat diperkukuhkan dan dapat bersama-sama memajukan pembangunan negeri serta membentuk sebuah persekutuan yang kukuh di negeri ini.
“Kita dibentuk oleh sejarah lalu, di mana negeri-negeri melayu tidak bersekutu seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor memiliki perkhidmatan awam masing-masing, berbeza dengan persekutuan di mana penjawat awam persekutuan telah mendapat pelbagai pengalaman bekerja di serata negeri manakala kerajaan negeri hanya tertumpu di negeri sahaja,” katanya dalam Perhimpunan Penjawat Awam Persekutuan Negeri Kedah di Wisma Persekutuan, semalam.
Dalam pada itu, Sanusi turut mengingatkan penjawat awam agar dapat menjalankan tugas memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa mencampuradukkan isu politik.
“Perkhidmatan awam perlu berfungsi sebagai sebuah kerajaan bukan menjadi cawangan atau tempat kepada parti politik hari ini.
“Sejak dari dahulu lagi budaya membawa masuk sentimen politik ini bertapak sejak sekian lama, walaupun dengan perubahan kerajaan, budaya ini tidak harus diamalkan lagi. Penjawat awam haruslah bebas merdeka serta dapat bekerja berasaskan fungsi jabatan masing-masing,” katanya lagi.
-SH