Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohorMA

Pupuk Semangat Perpaduan Dalam Melahirkan Generasi Yang Sihat

By 1 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Haliza Mohd Taib (Muar)

MUAR, 1 Sept (Malaysiaaktif) – Walaupun negara masih dilanda pandemik COVID-19 namun ia bukan satu penghalang untuk melahirkan generasi yang sihat serta mewujudkan rakyat yang cergas dan aktif dalam bersukan.

Menurut Pegawai Daerah Muar Datuk Mohd Haffiz Ahmad, program Youth Volunteer Platform XTIF Johor 2020 yang diadakan serentak di seluruh negeri  adalah bagi mengeratkan lagi hubungan dan perpaduan dikalangan masyarakat setempat yang berbilang kaum sekaligus menjadi titik tolak kepada gelombang gaya hidup sihat dan aktif.

“Pelbagai aktiviti diadakan seperti fun run, fun ride, zumba, pameran daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan aktiviti kecergasan serta sukan yang dilihat mampu menarik minat para pengunjung yang hadir.

“Ia juga merupakan satu platform untuk melestarikan budaya hidup sihat di kalangan masyarakat dan mampu mendidik para belia untuk bersama-sama pihak kerajaan dalam merasai denyut nadi rakyat diperingkat akar umbi serta menyemai sifat keperihatinan bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian program Youth Volunteer Platform XTIF Johor 2020 Peringkat Daerah Muar, di sini, semalam.

Aktiviti bacaan ikrar Rukun Negara dapat meningkatkan lagi semangat perpaduan dan patriotisma di kalangan para belia.

Aktiviti bacaan ikrar Rukun Negara dapat meningkatkan lagi semangat perpaduan dan patriotisma di kalangan para belia.

Hafizz berkata, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2020 ini, beliau berharap masyarakat dapat menerapkan rasa cinta dan kasih terhadap tanah air serta menghargai pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan dan mengekalkan keamanan negara ini.

Seorang anak jati Muar, Amran Sarsan, 39, berpendapat bahawa program ini merupakan landasan terbaik dalam memberi galakkan kepada para belia di daerah ini agar aktif bersukan, kekal sihat dan cergas.

“Masyarakat kita perlu sentiasa dididik agar membuat aktiviti yang berfaedah bagi mengelakkan mereka terjerumus ke kancah masalah sosial.

“Saya harap program ini tidak akan terhenti di sini sahaja kerana impak keberkesanan program ini mampu mengeratkan lagi silaturrahim antara masyarakat setempat,” ujarnya lagi.

Pada program semalam, turut diadakan bacaan ikrar Rukun Negara yang menampilkan tiga orang peserta mewakili tiga kaum terbesar di Negara ini, iaitu Mohd Hafiz Tumin, Gan Qi Ru dan Sithan Muthalyar Bala Saravanan bagi mempamerkan semangat perpaduan yang erat dan patriotisma yang tinggi dalam diri masing-masing dalam membentuk Negara yang sejahtera dan prihatin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat Zaiton Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Pasir Najib Lep dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Muar Mohd Helmi Mohd Sani.

-NI-

Tinggalkan komen anda