
Laporan/foto: Saberiya Patiroi/Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menzahirkan penghargaan kepada rakyat di negeri ini kerana kesediaan mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Disiplin merupakan resepi kejayaan utama bagi rakyat di negara ini mendepani pandamik COVID-19. Penularan COVID-19 telah memberi impak besar terhadap kestabilan ekonomi dan sosial secara keseluruhannya.
“Hasilnya, Malaysia merupakan antara negara yang berjaya mengawal dan mengurus pelbagai isu berkaitan COVID-19 dengan baik,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan Negeri Sabah, di sini baru-baru ini.
Muhyiddin turut mengingatkan penjawat awam di negeri ini agar sentiasa menambah baik perkhidmatan dan terus berusaha untuk mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat, oleh itu langkah pendigitalan perkhidmatan kerajaan perlu lebih meluas bagi memudahkan rakyat menyesuaikan diri dengan normal baharu.

Samsuni (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Muhyiddin (tengah) sambil disaksikan Dr. Ronald (kiri).
“Pendigitalan ini penting untuk dimanfaatkan seluruh rakyat termasuk dalam bidang kesihatan, pendidikan dan perniagaan bagi membawa ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih maju dan stabil.
“Dengan itu kerajaan akan segera mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan khusus di negeri Sabah terutamanya meningkatkan perkhidmatan jalur lebar,” katanya.
Tambah Muhyiddin, perkhidmatan awam perlu mengambil pendekatan bersama bagi membantu ekonomi negara kembali ke landasannya.
“Terdapat amalan dan prosedur yang selama ini digunapakai perlu di semak dan dinilai semua seiring dengan situasi semasa, ini termasuk cara kerja serta kebenaran ketua agensi dan jabatan untuk membuat keputusan segera pada perkara-perkara tertentu,” katanya lagi.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Dr. Ronald Kiandee, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd. Nor serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Persekutuan di negeri Sabah.
-SH