Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Iklan Jawatan Kosong Melalui MYFutureJobs Mulai 1 Nov

By 26 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik PERKESO

PUTRAJAYA, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Berkuat kuasa 1 Nov, majikan yang berhasrat menggaji pekerja asing melalui program pengambilan semula (re-hiring) dan memohon pengambilan pegawai dagang (ekspatriat) diwajibkan mengiklankan kekosongan jawatan berkenaan terlebih dahulu dalam portal pekerjaan nasional, MYFutureJobs.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata pengiklanan kekosongan jawatan di MYFutureJobs hendaklah tidak kurang daripada 14 hari bagi program re-hiring pekerja asing yang sedia ada dalam negara dan 30 hari bagi permohonan pegawai dagang.

Ini akan disusuli dengan sesi menemu duga calon bersama wakil majikan dan agensi Kementerian Sumber Manusia iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), katanya.

“Maklumat seperti nama jawatan, gaji yang ditawarkan, kelayakan akademik atau kemahiran dan kompetensi yang diperlukan wajib dipaparkan di MYFutureJobs,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saravanan berkata majikan juga dikehendaki mendaftar dan membuat permohonan melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAX) sebagai syarat pematuhan kepada undang-undang perburuhan bagi penggajian pekerja bukan warganegara.

Mulai 1 Nov juga, mana-mana majikan dan pekerja yang menggunakan JobsMalaysia akan diubah hala (re-direct) ke portal MYFutureJobs, yang bertujuan menjadikan MYFutureJobs sebagai platform tunggal bagi Kementerian Sumber Manusia memantau padanan pekerjaan yang melibatkan rakyat tempatan, katanya.

“Ia untuk memastikan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia diberi keutamaan. Permohonan pekerja asing atau pegawai dagang hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada rakyat Malaysia yang berminat memohon jawatan berkenaan,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan pekerjaan dan portal MYFutureJobs, boleh dibuat dengan menghubungi Perkeso di talian 03-8091 5300, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda