Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Individu Bekerja Sendiri Boleh Mohon Kebenaran Polis untuk Rentas Daerah, Negeri

By 31 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Individu yang bekerja sendiri boleh memohon surat kebenaran di balai polis untuk pergerakan keluar daerah atau negeri sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata surat kebenaran itu akan memudahkan pergerakan dan urusan mana-mana individu sewaktu ditahan di sekatan jalan raya (SJR).

“Jadi perlu ke balai polis, dapatkan surat kebenaran pergerakan. Saya faham mereka tidak mempunyai majikan, jadi tiada siapa dapat sahkan mereka bekerja di mana-mana syarikat.

“Nasihat saya, pergilah ke balai polis. Ini cara paling sesuai,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Ismail Sabri mengulas laporan membabitkan seorang penjaja makanan dikenakan kompaun RM1,000 dalam satu SJR kerana tidak memiliki surat kebenaran bekerja daripada majikan.

Ismail Sabri berkata sebanyak 293 SJR turut dilaksanakan semalam.

Katanya seramai 553 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 532 daripada mereka dikompaun manakala 21 orang ditahan reman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (153), gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran pelanggan (165), penjarakan fizikal (87), premis beroperasi lebih masa (37), aktiviti di pusat hiburan (18) dan lain-lain (93).

Beliau berkata seramai 46 warga asing ditahan dan lima kenderaan dirampas semalam dalam Ops Benteng bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin selain membendung penularan pandemik COVID-19.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menghubungi talian utama National Task Force di talian 011-6251 1223 untuk membantu menyalurkan maklumat berkaitan pendatang tanpa izin dan jenayah rentas sempadan.

“Orang ramai boleh membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan kemasukan pendatang asing secara haram dengan menghubungi pihak berkuasa supaya tindakan boleh diambil,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata PKPB Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah yang bermula pada 18 Okt lepas akan ditamatkan hari ini mengikut jadual kerana tiada pertambahan kes COVID-19 seperti dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda