Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Digesa Tangani Pedofilia dengan Lebih Tegas

By 11 Oktober 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan digesa menangani isu pedofilia dengan lebih tegas, termasuk mengenakan hukuman lebih berat  bagi memastikan jenayah itu tidak terus berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Ketika membuat gesaan itu, Presiden Pertubuhan Bahu Yang Membantu Lilarurzaini Mohd Hussain berkata di Indonesia, pesalah pedofilia dikenakan hukuman ‘chemical castration’ iaitu kembiri secara suntikan kimia yang dapat memperlahankan imaginasi pesalah selepas dibebaskan.

“Saya berharap kerajaan memperkuatkan lagi akta dan mengenakan hukuman berat ke atas penjenayah pedofilia ini, kerana apabila mereka ini keluar dari penjara, mereka masih boleh mengulangi jenayah itu,” katanya kepada pemberita pada Forum Peranan Masyarakat dalam Memerangi Pedofilia serta Pelancaran NGO Pertubuhan Bahu Yang Membantu cawangan Perak di Bota Kanan, semalam.

Beliau turut mempelawa agensi kerajaan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani jenayah itu yang disifatkannya semakin membimbangkan.

Lilarurzaini juga berharap kajian mengenai pedofilia diketengahkan dalam silibus pembelajaran pada awal pendidikan supaya kanak-kanak lebih peka dengan jenayah berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Mohd Nizar Zakaria yang turut hadir, berkata LPPKN menyediakan sesi kaunseling untuk ibu bapa dan juga kanak-kanak bagi mencegah jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Katanya kaunselor LPPKN akan membantu ibu bapa memainkan peranan mereka dalam melindungi anak daripada bahaya pedofilia sementara anak-anak pula dibimbing agar tidak terperangkap dalam situasi sedemikian, khususnya pada era teknologi semasa yang semakin mencabar ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda