Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lelaki Menyamar Pegawai Kanan Polis Bukit Aman Ditahan

By 1 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Gara-gara menyamar sebagai ‘pegawai kanan polis’ dari Bukit Aman dan memiliki objek menyerupai pistol, seorang lelaki ditahan polis di sekitar Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata suspek berumur 25 tahun itu ditahan susulan laporan diterima daripada seorang lelaki dan pihaknya turut merampas satu objek menyerupai pistol berwarna hitam.

“Mangsa seorang jurutera mendakwa mengenali suspek menerusi seorang rakan yang memperkenalkannya sebagai pegawai kanan polis di Cawangan E8 Bukit Aman lalu menghubunginya untuk urusan pembayaran saman trafik,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pada 23 Sept lepas, mangsa kemudiannya telah membuat pemindahan wang sebanyak RM100 ke akaun milik suspek kononnya bagi pembayaran saman itu.

Katanya, mereka berjumpa lagi keesokannya di sebuah restoran di Damansara Damai dan mangsa telah meminta bantuan suspek bagi menyelesaikan beberapa kes membabitkan kesalahan trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Suspek kemudian telah meminta mangsa membuat pemindahan wang secara berperingkat sebanyak RM800 dan semasa perjumpaan itu, mangsa terlihat objek yang menyerupai pistol terselit pada pinggang suspek dan merasa takut kerana suspek turut bercerita kononnya dia pernah membuat tangkapan dan melepaskan tembakan,” katanya.

Menurutnya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Ahad dan kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai pegawai polis dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api.

Dalam kes berasingan, perbuatan seorang lelaki memecahkan cermin sisi sebuah kenderaan menggunakan besi di Sungai Way, Petaling Jaya mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Nik Ezanee berkata suspek ditahan di perkarangan Balai Polis Sungai Way, sekitar 11.50 malam dan hasil pemeriksaan di dalam kereta miliknya telah menemukan sebatang besi dipercayai digunakan dalam kejadian  itu.

Selasa lepas, tular dalam media sosial seorang lelaki memecahkan cermin sisi sebuah lori di Jalan SS9A/1 Sungai Way, Petaling Jaya.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pada Sabtu pukul 12.45 tengah hari apabila mangsa berusia 38 tahun yang juga pemilik lori memberhentikan kenderaannya di tepi jalan di lokasi kejadian untuk menghantar barang.

“Suspek berumur 30 tahun itu tidak berpuas hati apabila diminta mengalihkan kenderaan lalu bertindak di luar kawalan dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada mangsa selain memecahkan cermin sisi lori itu menggunakan sebatang besi,” katanya dan menambah suspek direman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda