Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pencemaran Bau di Sungai Selangor, Empat LRA Henti Tugas

By 19 Oktober 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SHAH ALAM, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan tujuh wilayah akan mengalami gangguan bekalan air susulan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran di Sungai Selangor.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri, berkata LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSF1), Sungai Selangor 2 (SSF2), Sungai Selangor 3 (SSF3) dan Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran dikesan jam 2 pagi tadi.

“Henti tugas empat loji ini telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Sehingga jam 6.30 pagi ini, pencemaran bau masih lagi di kesan di Sungai Selangor pada tahap 1 TON,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Air Selangor menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Para pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi talian 15300.

“Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” jelasnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda