Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Seorang Maut Kapal Dayang Topaz Karam di Kuala Baram

By 27 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

PUTRAJAYA, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Seorang kru kapal penyelenggaraan minyak dan gas Dayang Topaz maut selepas kapal berkenaan karam di perairan kira-kira 7.7 batu nautika dari Kuala Baram di sini, pagi ini, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) Putrajaya menerima aduan daripada kapal Sapura Constructor pada 6.45 pagi melaporkan menerima isyarat kecemasan daripada kapal Dayang Topaz.

“Sapura Constructor bergerak ke lokasi untuk mengesan kedudukan sebenar kapal Dayang Topaz yang didapati mulai karam dengan 62 kru masih berada di atas kapal manakala 125 lagi terjun ke laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tiga kapal dan sebuah bot milik APMM yang berpangkalan di Miri digerakkan ke lokasi kejadian bersama tujuh kapal dan bot milik syarikat Petronas dan Shell.

Katanya, semua kru yang terjun berjaya diselamatkan kira-kira 9.29 pagi, seorang meninggal dunia dan berdasarkan maklumat awal, salah satu kabel sauh kapal Dayang Topaz terputus berikutan cuaca buruk, menyebabkan pelanggaran dengan platform.

Mohd Zubil berkata MRCC Putrajaya sedang bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk Petronas, Shell, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) , Jabatan Bomba dan Penyelamat, nelayan tempatan serta Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Brunei yang telah mengerah sebuah pesawat milik Brunei Shell Petroleum membantu operasi menyelamat.

“Aset-aset APMM seperti KM Siagut, KM Siakap dan Bot Penggalang 23 dikerah untuk memantau operasi menyelamat,” katanya.

Menurut beliau, operasi menyelamat dijalankan dalam keadaan laut bergelora dengan ketinggian ombak mencecah empat meter.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda