Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Bekalan Darah Kritikal, Belia Diminta Tampil Bantu

By 17 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

TENOM, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Golongan belia diminta untuk tampil menderma darah bagi menampung keperluan darah di Sabah yang semakin kritikal.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Flovia Ng, berkata kadar pesakit talasemia yang tinggi di negeri ini amat memerlukan bantuan bekalan darah.

“Penghidap talasemia memerlukan transfusi darah bagi memastikan mereka mempunyai kadar haemoglobin yang mencukupi.

“Oleh itu, kami menyeru para belia untuk hadir menderma bagi menampung keperluan pesakit talasemia dan rawatan kecemasan di hospital-hospital negeri ini,” katanya dalam Program Derma Darah anjuran Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bersama Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) di Tapak Tamu, di sini baru-baru ini.

Mashud Julaihe, 62, menderma buat kali yang ke-101.

Mashud Julaihe, 62, menderma buat kali yang ke-101.

Sementara itu, Pengerusi BSMM Sabah Datuk Asnan Yunus Chung, memaklumkan sambutan program derma darah pada kali ini semakin mendapat sambutan berbanding pertama kali dianjurkan.

“Dalam usaha membantu hospital di Sabah mempunyai bekalan daerah yang mencukupi, BSMM sekali lagi menganjurkan program derma darah di setiap daerah.

“Kali pertama dianjurkan dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Ogos 2020, BSMM berjaya mengutip 3,553 beg darah manakala dari September hingga 14 November ini, sebanyak 1,550 beg darah dapat dikutip,” katanya.

Tambah Asnan, golongan belia yang ingin menderma tidak perlu risau pada jangkitan COVID-19 kerana prosedur operasi standard (SOP) digunakan dan jumlah sukarelawan serta kakitangan hospital juga dihadkan kepada 15 orang sahaja bagi setiap program.

Hadir sama, Setiausaha Eksekutif Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah Joanne Lee, Pegawai Daerah Tenom Sungkim Rumangon, Pengarah BSMM Negeri Sabah Simon Chin dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Program Darah BSMM Negeri Sabah Leslie Chan Boon Siang.

-SH

Tinggalkan komen anda