PUTRAJAYA, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Kerajaan perlu memberi tumpuan untuk mempertingkatkan kelajuan capaian internet dengan caj lebih rendah susulan peningkatan penggunaan perkhidmatan itu dalam kalangan rakyat.
Presiden Persatuan Animasi Malaysia Amir Hamzah Hashim berkata budaya kerja baharu ketika ini memperlihatkan pelbagai urusan dibuat secara dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
“Sebagai contoh, dalam bidang animasi sendiri apabila kita terlibat dengan PKP, kita ada kekangan untuk bekerja di studio dan terpaksa bekerja dari rumah dengan masa yang lebih panjang kerana situasinya berbeza serta banyak hantaran pekerjaan perlu dibuat secara dalam talian.
“Jadi, jika kelajuan capaian internet dapat ditingkatkan dengan bayaran yang lebih rendah, ia dapat menstabilkan kos operasi syarikat,” katanya kepada Bernama semasa menyatakan harapan industri animasi terhadap Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.
Amir Hamzah turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan lebih banyak slot siaran animasi tempatan di stesen televisyen bagi mempergiatkan penerbitan animasi dan kelestarian studio animasi sedia ada.
“Apabila banyak stesen televisyen membeli produk animasi tempatan, ia akan mewujudkan lebih banyak ruang pekerjaan terutama buat siswazah baharu.
“Bagi menggalakkannya, kerajaan dicadang memberi insentif khas kepada stesen penyiar dalam bentuk potongan cukai supaya mereka membeli produk animasi ini,” katanya.
Turut senada, Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia Mohd Azrul Mohd Nor yang mencadangkan agar kerajaan meningkatkan lagi fungsi kerajaan digital dengan memberi keutamaan dalam bidang keusahawanan.
Beliau berkata keadaan itu akan mempercepatkan peralihan kepada pendigitalan operasi perniagaan terutama buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Harapan kita adalah untuk mengurangkan kekangan perniagaan yang dihadapi PKS dan usahawan akibat pandemik. Justeru, platform digital dilihat menjadi keperluan penting untuk membolehkan mereka mengadaptasinya dalam urusan perniagaan,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Azrul turut menyarankan agar kerajaan memperbanyakkan lagi pelbagai kursus, latihan dan program berkaitan pendigitalan perniagaan kepada PKS dan usahawan yang berminat untuk mengembangkan atau menukar konsep perniagaan kepada platform e-dagang.
“Kita harapkan agar setiap perniagaan PKS ini didigitalkan, bukan sahaja dari segi jualan dan pemasaran tetapi juga dari segi pengurusan syarikat, pentadbiran, perkhidmatan dan sebagainya,” katanya.
— BERNAMA